Saturday, March 8, 2008

kisah seorang aku

Siapa aku ?

Kesyukuran yang tak terhingga ku panjatkan buat Rabbul Jalil kerana dengan kasih sayangnya yang tidak pernah kunjung padam buatku, aku telah dapat mengenal diriku yang sebenarnya.
Selama 18 tahun aku hidup di dunia ini, hidupku telah dipenuhi dengan segala keseronokan dan kesenangan. Ku rasakan dunia inilah syurgaku, tempat aku perlu kecapi segala-galanya sebelum mati… dan waktu remaja ini perlu aku gunakan sepenuhnya sebelum tua menjengah. Dan sebagai orang Islam, aku tahu sembahyang itu wajib dan Al-Quran adalah kitab peganganku. Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah lagi aku telah dapat khatam al-Quran… aku bangga, tapi malangnya kenapa selama ini tidak pernah ku sedari tentang ayat yang memberitahu siapa aku sebenarnya hinggakan aku terlalai dan hanyut dengan arus dunia. Hinggalah pada suaru hari aku terdengar ceramah daripada seorang ustaz :
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak
Menjadikan seorang khalifah di bumi”… (Al-Baqarah : 30)
Hatiku sungguh tertarik mendengar ayat itu, lalu ku cuba untuk mendengar keterangan yang sepenuhnya. “Khalifah”………. bunyinya memang cukup asing bagiku, tetapi maknanya amat memberi kesan di dalam sanubari. Bila ku hayati sepenuhnya, barulah aku tahu bahawa aku adalah wakil Allah di muka bumi ini yang telah diciptakan untuk menegakkan agamaNya, dan semestinya ia bermula dalam diriku sendiri. Aku juga perlu melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya kerana secara fitrahnya, Allah telah memberi pengiktirafan bahawa Umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebaik-baik umat.
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)… (Ali-Imran :110)
Oh Tuhan………..kenapa tidak ku sedari semua itu selama ini. Selama 18 tahun aku telah mensia-siakan umurku. Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah mampu menjadi panglima perang diwaktu umurnya 17 tahun, tapi aku saat ini masih menanti suapan ilmu dari guru-guruku, masih belum mampu untuk membimbing mereka yang lebih daif daripadaku. Apa sebenarnya yang aku pelajari selama ini????.
Pernah dulu Ustazah ku bercerita, sewaktu kita lahir kedunia ini, kita telah pun membuat satu perjanjian dengan Allah s.w.t. bahawa kita akan mendaulatkan agamaNya di muka bumi ini. Dan syahadah itu pula merupakan sumpah setia yang tak berbelah bagi, bagi melaksanakan perintahnya. Kata Ustazah lagi, semua anggota badan kita hatta helaian bulu roma menjadi saksi terhadap sumpah setia itu apabila segala tugas dan tanggungjawab kita dipersoalkan diakhirat kelak. Takut dan ngeri bila terbayangkan saat itu kerana aku tahu walaupun aku tak pernah abaikan solat, namun masih banyak lagi tanggungjawab lain yang belum ku tunaikan.
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) ; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yasin :65).
Takutnya aku apabila mengetahui perjanjian Allah ini. Sebenarnya bukan terlalu payah untuk menjadi hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya…cuma kita dan khususnya aku yang masih degil dan ego untuk memberi ruang kepada Allah bagi menempatkan hidayatNya dihatiku.

Apa tujuanku ?

Selama ini sebenarnya jiwaku cukup kosong……malangnya aku belum mengetahui dengan apakah ia perlu diisi. Hidup ini bagaikan tidak bermatlamat. Tidak pernah pula terlintas difikiranku…….andainya dalam peperiksaan ku inginkan kejayaan, begitu juga dengan hidup ini, ku perlu raih kejayaan untuk akhiratku. Baruku tahu bahawa di dalam al-Quran, Allah juga ada menyebut bahawa manusia ini diciptakan untuk beribadat dan menghambakan diri kepada penciptanya.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz_Dzaariyaat :56)
Pada mulanya yang terfikir dibenakku, tentunya manusia ini tidak punya masa untuk bekerja dan mencari rezeki bila tugas mereka untuk beribadat kepada Allah semata-mata. Dan aku, sebagai pelajar sudah tentu kekurangan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat nota bagi menghadapi peperiksaan.
Alangkah sempitnya pemikiranku waktu itu. Tetapi hatiku cukup gembira, tenang dan terasa semakin dekat dengan Ilahi bila aku dapat memahami bahawa setiap gerak geri dan niat hatiku merupakan ibadat kepada Allah andai ku lakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya. Betapa syumul dan indahnya Islam. Sedikitpun tidak membebankan hamba-hambanya sebaliknya Allah sentiasa menanti-nanti peluang dan sentiasa mencari ruang untuk memberi pahala kepada hambaNya.
Tentunya melakukan ibadat membabi buta tidak mendatangkan satu manfaatpun. Aku buntu kembali. Siapa sepatutnya yang ku perlu ikuti dan contohi. Ku perhatikan manusia disekelilingku agar nanti ku dapati sesiapa sahaja yang dapat kucontohi. Guru disiplinku………..aku tersenyum sendiri…..puas.Mungkin dialah orangnya. Dia terlalu memahami masalah orang lain dan aku merasa cukup tenang bila dapat berbincang dengannya. Namun segala-galanya berubah bila suatu hari ku dapati dia menengking isterinya di hadapan kami sewaktu berkunjung ke rumahnya. Alangkah jahilnya aku, kenapa kubutakan mataku selama ini daripada meneliti dan memahami ayat-ayat Allah yang sekarang ini sudah agak kerap aku membacanya.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Al-Ahzaab :21)
Menitis airmataku bila terbaca ayat itu. Semakin banyak yang ku tahu tentang Islam semakin jahil rasanya. Dari kecil lagi ku di beritahu tentang Nabi Muhammad tetapi selama ini aku tidak pernah pun cuba untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Tidak pernah terlintas dihatiku untuk mendalami jiwa manusia yang bernama Muhammad itu sedangkan seluruh dunia mengiktiraf kesempurnaannya termasuk para orientalis barat.
Hatiku terharu lagi bila ku mengetahui sejarah perjuangan Rasulullah dalam mengembang syariat Islam. Lapar, dahaga, kesejukan, kepanasan, kemiskinan. kesakitan, cemuhan dan penderitaan yang datang silih berganti telah menjadi asam garam kehidupan. Semua itu dihadapi dengan hati yang tabah kerana demi menyelamatkan aqidah umat ini.
Aku bersyukur kepadamu Ya Allah……….. kerana terselamat dari segala kekufuran yang bermaharajalela. Aku bersyukur kerana dengan hidayahMu……..hidupku dipenuhi dengan ketenangan. Semua itu tak akan berlaku tanpa keberaniaan dan ketabahan utusanMu itu (Nabi Muhammad). Saat ini sekali lagi airmataku memenuhi kelopak mata bila mana mengetahui di saat kewafatan Rasulullah s.a.w., tidak lekang dari bibir baginda menyebut ;
UMATKU…….!!!!UMATKU…..!!!!!!!!UMATKU……..!!!!!!!!!!!!
Betapa sayang baginda kepada umat ini. Betapa sayangnya baginda padaku, tapi aku ?

Cita-citaku ?

Biarpun saat kematian belumku ketahui, tetapi aku telah berjanji, dengan umurku yang masih tersisa ini akan ku teruskan perjuangan Rasulullah bagi menyelamatkan aqidah umat ini……….. dan agar dapat ku kembalikan zaman kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dipelopori oleh para sahabat dan tabien. Aku ingin melihat ia bersinar kembali dibumiku ini agar nanti dapatku persembahkan kepada Allah dengan penuh kebanggaan.

Akan ku teruskan perjuangan ini
Untuk ku pusakakan kepada
Generasi di belakangku nanti
Oh tuhan berilah aku kekuatan
Dimana pun ada ketenangan dan bahagia
Tak usah kau ragu dan bimbang
Tuhanmu tetap bersamamu

No comments: