Monday, March 10, 2008

pandangan yang mencelakakan

“Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati yang hakiki, kalau hati itu bersih.”

Mata merupakan salah satu organ yang kecil tetapi memberi makna dan kesan yang besar kepada jasad. Ini kerana, mata merupakan punca segala-galanya. Dari matalah ramai manusia tersungkur ke lembah maksiat dan kehinaan, tetapi berapa ramai yang sedar bahawa organ kecil inilah punca kemusnahan diri mereka. Bak kata pepatah, dari mata turun ke hati.

Bermula satu hubungan dengan pandangan, kemudian dengan senyuman disusuli dengan memberi salam, seterusnya bermulalah perbualan diikuti dengan perjanjian, maka berlakulah pertemuan. Itulah fitrah dan kelaziman manusia yang tidak bertegas pada diri dalam melayani kehendak nafsu.

Perkara ini berlaku kepada hampir semua manusia tidak terkecuali kepada mereka yang berada dalam saf perjuangan Islam. Pernahkah perkara ini terjadi kepada kita atau sebaliknya?. Jika ya, sedarlah dan bertaubatlah dan jika tidak panjatkanlah kesyukuran kepada Allah kerana masih lagi memberi kita kekuatan untuk membentengi diri daripada punca kemurkaan Allah ini. Marilah kita sama-sama menyedari bahawa menjaga pandangan mata adalah merupakan perkara penting yang telah ditinggalkan oleh kebanyakkan pejuang Islam hari ini.

Sungguh memalukan apabila sesi mesyuarat yang merupakan medan untuk merangka kerja-kerja Islam telah terpesong daripada matlamatnya kerana telah berlaku pandangan mata yang tidak terbatas dan gurau-senda yang melampau. Adakah kita semua menyedari atau sengaja tidak mengendahkannya kerana menganggap ianya satu perkara biasa yang tidak perlu dirungsingkan, atau kita benar-benar tidak menyedarinya? Apa-apa pun jawapannya, bagi seorang yang bergelar mukmin sejati, hatinya amat sensitif dan mudah tersentuh dengan apa jua perkara yang bernama DOSA. Bukankah seorang mukmin melihat dosa walaupun sekecil-kecilnya seolah-olah seketul batu besar yang menghempap jasadnya, menghantui dirinya, menekan perasaannya dan meragut ketenangan jiwanya? Itulah yang sepatutnya dirasai oleh kita semua yang yang bukan sahaja bercita-cita menjadi mukmin sebenar tetapi amat rindu menjadi pejuang agama Allah yang Maha Tinggi. Bermula tika dan saat ini, marilah kita sama-sama menegakkan syariat Allah bermula dari diri kita sendiri. Usahlah kita menuding jari ke arah orang lain jika Islam terpinggir dalam biah KHAIRIAH ini khususnya dan Malaysia yang tercinta ini amnya kerana mungkin kita juga turut memberi saham kepada fenomena ini.

Justeru itu, dengan kesedaran dan keinsafan ini, marilah kita sama-sama membaiki dan menghapuskan kefasadan ini dengan sama-sama menjaga pandangan mata yang diharamkan dan memberi peringatan kepada mereka yang lupa dikalangan kita. Jangan kalian memandang kepada kecil atau besarnya dosa itu tetapi pandanglah kepada “siapa” kalian bersalah.

Sesungguhnya Allah tidak pernah mengharapkan sesuatu apa pun daripada kalian tetapi kalianlah yang terlalu mengharapkan pertolongan Allah dan keredaan-Nya dalam perjuangan ini. Takutilah amaran Allah melalui lidah kekasih-Nya yang bermaksud:

“ Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu ATAU Allah menelekupkan muka kamu “.

Ketahuilah wahai sahabat bahawa Allah tidak pernah berdusta atau memungkiri janji-Nya. Di tangan kalianlah untuk memilih SATU di antara DUA - Syurga atau Neraka - . Ayuh, tundukkanlah pandanganmu agar tertutup pintu neraka.

“ Wahai Tuhan kami, biarkanlah kami nampak yang benar itu benar dan berilah kekuatan kepada kami untuk mentaatinya. Dan biarlah kami nampak yang batil itu batil dan berilah kakuatan kepada kami untuk kami menjauhinya “.

No comments: