Tuesday, March 4, 2008

Nilai ekonomi, kemanusiaan dalam teater dapat perhatian

Oleh Shaidah Shafie

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera




SENI persembahan bukan saja mampu tampil sebagai kegiatan yang mempunyai pulangan ekonomi, tetapi turut berupaya membawa individu yang terbabit dengannya untuk mengenali jati diri, warisan dan memulihkan tekanan emosi akibat sesuatu bencana.

Pakar Program Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Asia Pasifik, Bangkok, Patricia Alberth, pula menjelaskan Unesco memandang tinggi terhadap kebolehupayaan seni dalam mengembalikan ketamadunan dunia.

“Unesco mendapati kanak-kanak mangsa Tsunami yang kami kendalikan menggunakan pendekatan seni persembahan begitu teruja dalam sesi pemulihan. Malahan mereka berani menunjukkan minat dengan tarian Bollywood dan hakikat itu mengejutkan kami,” katanya ketika mengulas mengenai Identiti dan Tradisi pada Persidangan Antarabangsa Seni Persembahan: Industri Kreatif di Asia di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Alberth turut memberi contoh masyarakat mempunyai kuasa membentuk kebudayaan melalui produk seni dengan menampilkan projek One Tambon One Product (OTOP) di Thailand yang dilihat memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat.

“Kebudayaan bersifat ketara atau tidak ketara, jika diselaraskan dengan pengurusan yang betul akan mampu diwariskan kepada beberapa generasi. Asia adalah pusat kebudayaan dan tradisi. Justeru segala yang berkaitan kebudayaan, jati diri dan tradisi akan sentiasa menjadi kepentingan utama di rantau ini,” katanya.


Pengarah Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Masayo Shimoyama, melihat seni persembahan bukan saja berfungsi untuk hiburan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai secara lebih global seperti seni mencetus hubungan diplomatik antara dua negara.

Yayasan Jepun ditubuhkan Kerajaan Jepun pada 1972 sebagai entiti bebas bertujuan menjalankan program pertukaran budaya pada peringkat antarabangsa dan pada 2003, keutuhan organisasi terbabit ketara apabila ia menjadi institusi dengan pentadbiran sendiri.

“Pada 2007, JF mengadakan 12 kegiatan pementasan muzik dan kebudayaan dengan kerjasama pihak tertentu di Malaysia. Pada tahun ini, kami merancang mengadakan pementasan dengan penekanan sama rata antara kebudayaan semasa dan tradisional Jepun untuk dikongsi dengan khalayak Malaysia,” katanya ketika membincangkan Projek Yayasan Jepun Kuala Lumpur Sejak 35 Tahun Lalu.

Beliau yakin kreativiti seni yang bersifat tradisional dan kontemporari akan memberi kesan berguna kepada Malaysia dan Jepun dalam usaha melestarikan seni serta mampu mengukuhkan kerjasama dalam aspek kesenian dengan mengadakan pertukaran maklumat seni.

Lebih 300 khalayak persidangan anjuran Pusat Kebudayaan UM dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) turut disedarkan dengan kenyataan seni persembahan sesuai digunakan bagi mencetus kesedaran perpaduan kaum seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Pensyarah Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Prof Tan Sooi Beng memanfaatkan kaedah etnomusikologi merangkumi kerja lapangan, temubual, penyertaan, penelitian, rakaman audio visual, analisis, mempelajari instrumen tradisional dan persembahan berkumpulan sebagai langkah pengukuhan seni dalam masyarakat.

“Ini secara tidak langsung menyediakan landasan kepada remaja untuk mengutarakan isu jati diri dan warisan selain belajar, meneroka serta mendedahkan mereka kepada pelbagai kebudayaan mahupun sejarah dalam persekitaran sepunya,” katanya ketika menyinggung Amali Etnomusikologi: Penguasaan Belia Untuk Penggiatan Tradisi dan Penghubung Kebudayaan.

Pensyarah Jabatan Kebudayaan UM, Prof Dr Solehah Ishak, berkata teater boleh dibangunkan sebagai produk yang mempunyai nilai ekonomi dalam industri kreatif, sekiranya ia mampu menampilkan kelainan dan ini boleh dicapai jika segala kesempatan digunakan bagi memperkukuhkannya.

“Justeru lakonan mahupun pementasan muzikal tidak boleh diadakan dalam tempoh terlalu dekat antara satu sama lain jika kita ingin melihat teater tampil sebagai industri kreatif dengan nilai ekonomi,” katanya ketika memperkatakan Mainkan Lagu: Muzikal dan Industri Kreatif

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Datin Rohani Md Yousoff yakin bahawa teater mampu tampil sebagai disiplin yang berupaya memantapkan jati diri pelajar selain mengasuh mereka berfikir kritis, mengendali hubungan peribadi, lebih terarah dalam urusan kewangan serta bijak mengendalikan syarikat sekiranya berpeluang.

“Teater tunggak asas kemahiran hidup, merangsang kemahiran kerja berkumpulan, pengamalnya akan lebih menghargai diri dan kreativiti mereka. Sebagai pendidik, saya membimbing pelajar dalam semua aspek berkaitan teater seperti sejarah, berlakon, rekaan, teknikal, suara, gerak dan kesusasteraan,” katanya ketika mengupas Pengarahan Teater Untuk Keperluan Pelbagai.

No comments: