MELIHAT Menara Tokyo menjulang tinggi dari jauh mengingatkan kepada menara terkenal di Paris, Eiffel Tower.
Sangkaan itu terbukti benar kerana Menara Tokyo setinggi 332.6 meter di Taman Shiba, Minato-ku, memang menciplak reka bentuk menara terkenal milik Perancis.
Bagaimanapun, Jepun adalah sebuah negara yang hebat dari segi teknologi membina menara keluli yang lebih canggih. Menara ini mengatasi ketinggian Menara Eiffel sebanyak 8.6 meter, tetapi hanya seberat 4,000 tan berbanding Eiffel seberat 7,300 tan.
Mengikut sejarah pada 1950-an apabila Jepun bangkit daripada debu kemusnahan Perang Dunia Kedua dan muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia, Kerajaan Jepun membuat keputusan untuk membina mercu tanda yang dapat melambangkan kehebatan ekonomi negara itu.
Berkiblatkan Barat, Jepun memutuskan menjadikan Menara Eiffel sebagai model menara kebanggaan negara itu.
Menara ini siap dibina oleh Takenaka Corporation pada 1958 yang membabitkan perbelanjaan sebanyak 2.8 bilion Yen.
Selain reka bentuk, Menara Tokyo menjadi perhatian sesiapa saja yang berkunjung ke Tokyo kerana warna putih jingga, iaitu mengikut peraturan keselamatan udara antarabangsa cukup menyerlah pada waktu siang dan menarik dipandang apabila dihiasi lampu pada waktu malam.
Antara kegunaan utama menara ini untuk tujuan telekomunikasi. Antara stesen televisyen yang menggunakan kemudahan di sini termasuk TV Asahi, Fuji TV, NTV TV, TV Tokyo, TV Pendidikan NHK, manakala stesen radio ialah Tokyo FM dan Nikkei Radio.
Sudah tentu seperti kebanyakan menara terkenal di dunia seperti Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter, Menara Tokyo menjadi tumpuan pelancong kerana sebahagian besar wajah Tokyo dapat dilihat daripada menara ini.
Terdapat dua lokasi untuk melihat pemandangan, iaitu tingkat pemerhatian utama pada ketinggian 150 meter yang membolehkan pelawat menyaksikan keseluruhan wilayah Kanto yang mengelilingi Tokyo.
Jika ingin melihat lebih jauh, pelawat boleh menaiki hingga ke tingkat pemerhatian istimewa pada ketinggian 250 meter, iaitu tingkat tertinggi menara ini. Jika keadaan cuaca baik, pelawat boleh melihat Gunung Fuji yang terkenal.
Terpulang kepada pengunjung untuk membuat pilihan kerana selain membayar 820 Yen untuk ke tingkat pemerhatian utama, tambahan 600 yen diperlukan untuk ke tingkat pemerhatian istimewa.
Bagaimanapun, menyaksikan pemandangan Tokyo memang cukup menarik. Kebanyakan pelawat tidak melepaskan peluang mengambil gambar pemandangan Tokyo dan semestinya diri mereka sendiri di menara itu.
Bagi memberi nilai tambah untuk menarik kedatangan pelancong, Menara Tokyo mempunyai akuarium yang menempatkan kira-kira 50,000 ekor ikan, Galeri Believe it or Not, Muzium Lilin dan Muzium Silap Mata.
Kehadiran deretan bas pelancong dan pelancong bertali arus membuktikan Menara Tokyo menjadi antara destinasi pelancongan utama di Tokyo.
Setakat ini, Menara Tokyo adalah buah hati Tokyo, tetapi keadaan mungkin berubah apabila Menara Sumida yang hampir sekali ganda lebih tinggi, iaitu 613.5 meter dijangka siap pada 2011.
No comments:
Post a Comment