WARNA dan rekaan moden jadi pilihan terkini.
JIKA dulu pasu digunakan sebagai bekas untuk pokok bunga tapi kini fungsinya sudah berubah. Lihat sekitar kawasan kejiranan dan perhatikan bagaimana pasu diubah sebagai elemen penting penghias taman.
Bagi yang terbiasa dengan gaya Bali, penggunaan pasu tidak asing lagi malah kegunaannya yang versatil menjadikan ia antara aksesori 'mesti ada' untuk taman Bali.
Kegunaannya bukan sekadar bekas untuk tanaman tapi ia boleh juga dijadikan bekas tadahan air dan kolam untuk ikan belaan. Kini kehadiran pelbagai jenis pasu dari Indonesia dan Vietnam bakal menambah warna pada dekorasi taman.
Perbezaan pasu Indonesia dan Vietnam dengan pasu buatan tanah liat lain adalah rekaan dan warnanya. Tidak seperti pasu tanah liat biasa, pasu import ini lebih ceria kerana diwarnakan menggunakan cat arkilik dalam pelbagai warna menarik antaranya biru, hijau dan merah jambu.
Pengarah Urusan Summitstone Garden, T S Chong, berkata pasu import dari Indonesia dan Vietnam adalah antara aksesori terbaru dijual syarikatnya khusus untuk penggemar aksesori hiasan laman.
"Saya pasti pasu besar dari Indonesia dan Vietnam ini bakal disukai ramai kerana warna dan rekaannya yang moden serta memikat berbanding pasu biasa. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding pasu biasa namun kualitinya terjamin baik.
"Selain itu, saiz yang lebih besar dan menonjol juga membuatkan pasu import ini kelihatan menarik serta sesuai dijadikan titik tumpu dalam taman," katanya.
Sebagai panduan untuk pelanggan yang berkunjung ke Summitstone Garden, Petaling Jaya, Selangor, Chong turut memberikan beberapa panduan mengenai reka letak pasu dalam kediaman.
Biasanya pasu berwarna terang akan disyorkan untuk kediaman berkonsep moden. Kedudukannya yang sesuai adalah sebagai penyambut kedatangan tetamu sama ada berhampiran pintu utama kediaman atau aksesori hiasan di pintu laman.
Manakala tempayan boleh digunakan untuk hiasan kolam sama ada sebagai bekas tadahan air atau sebagai pasu untuk tumbuhan hiasan kolam. Boleh juga masukkan pokok papyrus, kiambang atau teratai sebagai pelengkap gaya.
Selain itu, deretan pasu besar boleh diletak di atas bata atau di tempat tinggi, digandingkan bersama lampu sorot untuk menampakkan impak mewah di taman pada waktu malam.
Bagaimanapun, untuk keselamatan, pastikan tapak pasu besar selamat dan kukuh bagi mengelakkan berlaku kemalangan dan kecederaan yang tidak diingini kepada pengunjung taman anda.
No comments:
Post a Comment