Saturday, March 8, 2008

soal hati

Hati manusia mengawal pergerakan jasadnya. Jika hati kita bersih, jasad juga turut melakukan kebaikan. Sebaliknya, hati yang kotor akan mengajak kita melakukan perkara-perkara yang ditegah agama.
Dari Nu'man bin Basyir diriwayatkan oleh Al-lmam Al-Bukhari, Rasulullah SAW mengingatkan mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati.”
Hadis ini memberi gambaran bahawa hati manusia yang rosak diibaratkan sebagai komputer yang mempunyai virus. la mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah hati, jika ia dijangkiti, seluruh badan akan rosak.
Keadaan hati, sama ada bersih atau kotor mempunyai pertalian rapat dengan keimanan dan ketakwaan individu. Tanda-tanda takwa atau takut kepada Allah SWT dapat dilihat dalam tujuh perkara berikut:
1. Seseorang menjaga lisan atau lidahnya jauh daripada ghibah seperti memfitnah, mengumpat dan mengadu domba.
2. Menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu.
3. Pandangan dipelihara daripada melihat perkara-perkara haram yang boleh menggelapkan hati. Sebab itu berpalinglah daripada melihat perkara-perkara terlarang untuk mendidik hati. Bagaimanapun diharuskan kita memandang dengan penuh keinsafan atau untuk mengambil iktibar.
4. Menjaga perut agar tidak diisi dengan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi barang yang haram berada di dalam tubuh kita.
5. Menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan haram.
6. Kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah SWT. Seeloknya bila melangkah keluar disertai dengan doa-doa untuk memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar.
7. Ketaatan dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT serta takut kepada sifat-sifat riak dan munafik.
Hati dan hubungan kita dengan ketaatan terhadap Allah SWT amat rapat. Sebab itu, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar memelihara hati kita dan sentiasa taat kepada-Nya. Hati amat penting kerana apabila rosak, ia menggambarkan pegangan agama kita juga turut rosak. Jika seseorang bersungguh-sungguh melaksanakan saranan memelihara anggota-anggota di atas, dia termasuk di dalam golongan orang muttaqin yang dijanjikan Allah SWT dengan Syurga.
Di dalam diri, manusia berhadapan dengan dua bisikan iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat. Bisikan syaitan menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah SWT. Maka, lahirlah manusia yang kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, dan sebagainya. Sebaliknya, jika jiwa dikuasai dengan unsur-unsur kemalaikatan, dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah SWT, warak, sentiasa mengingati-Nya dan bersyukur.
Di dalam Surah AI-A'raaf, ayat 200-201, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).”
Tuhan memilih Nabi Muhammad SAW untuk membawa utusan-Nya. Maka semestinya utusan Allah SWT mempunyai sifat-sifat istimewa, antaranya hati yang bersih. Dengan hatinya yang bersih itu, orang-orang kafir dan Quraisy tertawan. Kesabaran, keikhlasan dan kemuliaan akhlaknya berpunca daripada hati Baginda yang bersih. Malah orang-orang kafir sendiri mengakui kemuliaan hati Baginda.
Berzikir dan mengingati kembali hakikat kejadian manusia adalah antara cara mengubat hati supaya beriman kepada-Nya. Dengan berzikir, hati yang keras dapat dilembutkan.
Untuk mendidik hati dan menaikkan taraf kepada golongan muttaqin pula, kita hendaklah menyerahkan diri kepada Allah SWT. Mulakan dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh, malah lebih elok sehingga dapat menitiskan air mata. Sesungguhnya Allah SWT amat merindui rintihan dan tangisan keinsafan hamba-hamba-Nya.
Taubat sebenar datang daripada hati dan memberi kesan mendalam sehingga dapat merasa diri hampir dengan Tuhan, seterusnya mengubah sikap. Hati yang insaf dan kuat akan menimbulkan rasa takut dan gerun terhadap Allah SWT serta dapat menahan kesabaran dan hawa nafsu. Jika keimanan dapat ditingkatkan melalui hati, Insya-Allah, kita akan menjadi seorang yang bertakwa.
Hati yang dekat pada Allah SWT akan merintih agar jasad ini kembali kepada-Nya bila jasad teralpa dengan pekerjaan dunia. Hati yang sentiasa tawadhu' akan sentiasa mengakhiri harinya dengan muhasabah diri kepada Pencipta. Hati yang sentiasa dibasahi Kalamullah dan Zikrullah, akan kuat menahan dugaan dan cabaran. Memang susah untuk mendidik hati, tapi setiap perkara perlu ada titik pemulaannya. Jihad untuk mendidik hati ini perlukan azam yang teguh. Insya-Allah, semoga Allah SWT memberikan kekuatan yang kita perlu dalam menuju ke tingkatan hati hamba yang terbaik. Amin.

kisah seorang aku

Siapa aku ?

Kesyukuran yang tak terhingga ku panjatkan buat Rabbul Jalil kerana dengan kasih sayangnya yang tidak pernah kunjung padam buatku, aku telah dapat mengenal diriku yang sebenarnya.
Selama 18 tahun aku hidup di dunia ini, hidupku telah dipenuhi dengan segala keseronokan dan kesenangan. Ku rasakan dunia inilah syurgaku, tempat aku perlu kecapi segala-galanya sebelum mati… dan waktu remaja ini perlu aku gunakan sepenuhnya sebelum tua menjengah. Dan sebagai orang Islam, aku tahu sembahyang itu wajib dan Al-Quran adalah kitab peganganku. Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah lagi aku telah dapat khatam al-Quran… aku bangga, tapi malangnya kenapa selama ini tidak pernah ku sedari tentang ayat yang memberitahu siapa aku sebenarnya hinggakan aku terlalai dan hanyut dengan arus dunia. Hinggalah pada suaru hari aku terdengar ceramah daripada seorang ustaz :
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak
Menjadikan seorang khalifah di bumi”… (Al-Baqarah : 30)
Hatiku sungguh tertarik mendengar ayat itu, lalu ku cuba untuk mendengar keterangan yang sepenuhnya. “Khalifah”………. bunyinya memang cukup asing bagiku, tetapi maknanya amat memberi kesan di dalam sanubari. Bila ku hayati sepenuhnya, barulah aku tahu bahawa aku adalah wakil Allah di muka bumi ini yang telah diciptakan untuk menegakkan agamaNya, dan semestinya ia bermula dalam diriku sendiri. Aku juga perlu melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya kerana secara fitrahnya, Allah telah memberi pengiktirafan bahawa Umat Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebaik-baik umat.
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)… (Ali-Imran :110)
Oh Tuhan………..kenapa tidak ku sedari semua itu selama ini. Selama 18 tahun aku telah mensia-siakan umurku. Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah mampu menjadi panglima perang diwaktu umurnya 17 tahun, tapi aku saat ini masih menanti suapan ilmu dari guru-guruku, masih belum mampu untuk membimbing mereka yang lebih daif daripadaku. Apa sebenarnya yang aku pelajari selama ini????.
Pernah dulu Ustazah ku bercerita, sewaktu kita lahir kedunia ini, kita telah pun membuat satu perjanjian dengan Allah s.w.t. bahawa kita akan mendaulatkan agamaNya di muka bumi ini. Dan syahadah itu pula merupakan sumpah setia yang tak berbelah bagi, bagi melaksanakan perintahnya. Kata Ustazah lagi, semua anggota badan kita hatta helaian bulu roma menjadi saksi terhadap sumpah setia itu apabila segala tugas dan tanggungjawab kita dipersoalkan diakhirat kelak. Takut dan ngeri bila terbayangkan saat itu kerana aku tahu walaupun aku tak pernah abaikan solat, namun masih banyak lagi tanggungjawab lain yang belum ku tunaikan.
Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) ; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Yasin :65).
Takutnya aku apabila mengetahui perjanjian Allah ini. Sebenarnya bukan terlalu payah untuk menjadi hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya…cuma kita dan khususnya aku yang masih degil dan ego untuk memberi ruang kepada Allah bagi menempatkan hidayatNya dihatiku.

Apa tujuanku ?

Selama ini sebenarnya jiwaku cukup kosong……malangnya aku belum mengetahui dengan apakah ia perlu diisi. Hidup ini bagaikan tidak bermatlamat. Tidak pernah pula terlintas difikiranku…….andainya dalam peperiksaan ku inginkan kejayaan, begitu juga dengan hidup ini, ku perlu raih kejayaan untuk akhiratku. Baruku tahu bahawa di dalam al-Quran, Allah juga ada menyebut bahawa manusia ini diciptakan untuk beribadat dan menghambakan diri kepada penciptanya.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz_Dzaariyaat :56)
Pada mulanya yang terfikir dibenakku, tentunya manusia ini tidak punya masa untuk bekerja dan mencari rezeki bila tugas mereka untuk beribadat kepada Allah semata-mata. Dan aku, sebagai pelajar sudah tentu kekurangan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat nota bagi menghadapi peperiksaan.
Alangkah sempitnya pemikiranku waktu itu. Tetapi hatiku cukup gembira, tenang dan terasa semakin dekat dengan Ilahi bila aku dapat memahami bahawa setiap gerak geri dan niat hatiku merupakan ibadat kepada Allah andai ku lakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaanNya. Betapa syumul dan indahnya Islam. Sedikitpun tidak membebankan hamba-hambanya sebaliknya Allah sentiasa menanti-nanti peluang dan sentiasa mencari ruang untuk memberi pahala kepada hambaNya.
Tentunya melakukan ibadat membabi buta tidak mendatangkan satu manfaatpun. Aku buntu kembali. Siapa sepatutnya yang ku perlu ikuti dan contohi. Ku perhatikan manusia disekelilingku agar nanti ku dapati sesiapa sahaja yang dapat kucontohi. Guru disiplinku………..aku tersenyum sendiri…..puas.Mungkin dialah orangnya. Dia terlalu memahami masalah orang lain dan aku merasa cukup tenang bila dapat berbincang dengannya. Namun segala-galanya berubah bila suatu hari ku dapati dia menengking isterinya di hadapan kami sewaktu berkunjung ke rumahnya. Alangkah jahilnya aku, kenapa kubutakan mataku selama ini daripada meneliti dan memahami ayat-ayat Allah yang sekarang ini sudah agak kerap aku membacanya.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Al-Ahzaab :21)
Menitis airmataku bila terbaca ayat itu. Semakin banyak yang ku tahu tentang Islam semakin jahil rasanya. Dari kecil lagi ku di beritahu tentang Nabi Muhammad tetapi selama ini aku tidak pernah pun cuba untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Tidak pernah terlintas dihatiku untuk mendalami jiwa manusia yang bernama Muhammad itu sedangkan seluruh dunia mengiktiraf kesempurnaannya termasuk para orientalis barat.
Hatiku terharu lagi bila ku mengetahui sejarah perjuangan Rasulullah dalam mengembang syariat Islam. Lapar, dahaga, kesejukan, kepanasan, kemiskinan. kesakitan, cemuhan dan penderitaan yang datang silih berganti telah menjadi asam garam kehidupan. Semua itu dihadapi dengan hati yang tabah kerana demi menyelamatkan aqidah umat ini.
Aku bersyukur kepadamu Ya Allah……….. kerana terselamat dari segala kekufuran yang bermaharajalela. Aku bersyukur kerana dengan hidayahMu……..hidupku dipenuhi dengan ketenangan. Semua itu tak akan berlaku tanpa keberaniaan dan ketabahan utusanMu itu (Nabi Muhammad). Saat ini sekali lagi airmataku memenuhi kelopak mata bila mana mengetahui di saat kewafatan Rasulullah s.a.w., tidak lekang dari bibir baginda menyebut ;
UMATKU…….!!!!UMATKU…..!!!!!!!!UMATKU……..!!!!!!!!!!!!
Betapa sayang baginda kepada umat ini. Betapa sayangnya baginda padaku, tapi aku ?

Cita-citaku ?

Biarpun saat kematian belumku ketahui, tetapi aku telah berjanji, dengan umurku yang masih tersisa ini akan ku teruskan perjuangan Rasulullah bagi menyelamatkan aqidah umat ini……….. dan agar dapat ku kembalikan zaman kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dipelopori oleh para sahabat dan tabien. Aku ingin melihat ia bersinar kembali dibumiku ini agar nanti dapatku persembahkan kepada Allah dengan penuh kebanggaan.

Akan ku teruskan perjuangan ini
Untuk ku pusakakan kepada
Generasi di belakangku nanti
Oh tuhan berilah aku kekuatan
Dimana pun ada ketenangan dan bahagia
Tak usah kau ragu dan bimbang
Tuhanmu tetap bersamamu

Wednesday, March 5, 2008

Pasu import lebih ceria guna cat arkilik dalam pelbagai warna


WARNA dan rekaan moden jadi pilihan terkini.

JIKA dulu pasu digunakan sebagai bekas untuk pokok bunga tapi kini fungsinya sudah berubah. Lihat sekitar kawasan kejiranan dan perhatikan bagaimana pasu diubah sebagai elemen penting penghias taman.

Bagi yang terbiasa dengan gaya Bali, penggunaan pasu tidak asing lagi malah kegunaannya yang versatil menjadikan ia antara aksesori 'mesti ada' untuk taman Bali.

Kegunaannya bukan sekadar bekas untuk tanaman tapi ia boleh juga dijadikan bekas tadahan air dan kolam untuk ikan belaan. Kini kehadiran pelbagai jenis pasu dari Indonesia dan Vietnam bakal menambah warna pada dekorasi taman.

Perbezaan pasu Indonesia dan Vietnam dengan pasu buatan tanah liat lain adalah rekaan dan warnanya. Tidak seperti pasu tanah liat biasa, pasu import ini lebih ceria kerana diwarnakan menggunakan cat arkilik dalam pelbagai warna menarik antaranya biru, hijau dan merah jambu.

Pengarah Urusan Summitstone Garden, T S Chong, berkata pasu import dari Indonesia dan Vietnam adalah antara aksesori terbaru dijual syarikatnya khusus untuk penggemar aksesori hiasan laman.



"Saya pasti pasu besar dari Indonesia dan Vietnam ini bakal disukai ramai kerana warna dan rekaannya yang moden serta memikat berbanding pasu biasa. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding pasu biasa namun kualitinya terjamin baik.

"Selain itu, saiz yang lebih besar dan menonjol juga membuatkan pasu import ini kelihatan menarik serta sesuai dijadikan titik tumpu dalam taman," katanya.

Sebagai panduan untuk pelanggan yang berkunjung ke Summitstone Garden, Petaling Jaya, Selangor, Chong turut memberikan beberapa panduan mengenai reka letak pasu dalam kediaman.

Biasanya pasu berwarna terang akan disyorkan untuk kediaman berkonsep moden. Kedudukannya yang sesuai adalah sebagai penyambut kedatangan tetamu sama ada berhampiran pintu utama kediaman atau aksesori hiasan di pintu laman.


Manakala tempayan boleh digunakan untuk hiasan kolam sama ada sebagai bekas tadahan air atau sebagai pasu untuk tumbuhan hiasan kolam. Boleh juga masukkan pokok papyrus, kiambang atau teratai sebagai pelengkap gaya.

Selain itu, deretan pasu besar boleh diletak di atas bata atau di tempat tinggi, digandingkan bersama lampu sorot untuk menampakkan impak mewah di taman pada waktu malam.

Bagaimanapun, untuk keselamatan, pastikan tapak pasu besar selamat dan kukuh bagi mengelakkan berlaku kemalangan dan kecederaan yang tidak diingini kepada pengunjung taman anda.

Tuesday, March 4, 2008

Menara Tokyo destinasi pelancongan utama Jepun



MELIHAT Menara Tokyo menjulang tinggi dari jauh mengingatkan kepada menara terkenal di Paris, Eiffel Tower.

Sangkaan itu terbukti benar kerana Menara Tokyo setinggi 332.6 meter di Taman Shiba, Minato-ku, memang menciplak reka bentuk menara terkenal milik Perancis.

Bagaimanapun, Jepun adalah sebuah negara yang hebat dari segi teknologi membina menara keluli yang lebih canggih. Menara ini mengatasi ketinggian Menara Eiffel sebanyak 8.6 meter, tetapi hanya seberat 4,000 tan berbanding Eiffel seberat 7,300 tan.


Mengikut sejarah pada 1950-an apabila Jepun bangkit daripada debu kemusnahan Perang Dunia Kedua dan muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia, Kerajaan Jepun membuat keputusan untuk membina mercu tanda yang dapat melambangkan kehebatan ekonomi negara itu.

Berkiblatkan Barat, Jepun memutuskan menjadikan Menara Eiffel sebagai model menara kebanggaan negara itu.

Menara ini siap dibina oleh Takenaka Corporation pada 1958 yang membabitkan perbelanjaan sebanyak 2.8 bilion Yen.

Selain reka bentuk, Menara Tokyo menjadi perhatian sesiapa saja yang berkunjung ke Tokyo kerana warna putih jingga, iaitu mengikut peraturan keselamatan udara antarabangsa cukup menyerlah pada waktu siang dan menarik dipandang apabila dihiasi lampu pada waktu malam.

Antara kegunaan utama menara ini untuk tujuan telekomunikasi. Antara stesen televisyen yang menggunakan kemudahan di sini termasuk TV Asahi, Fuji TV, NTV TV, TV Tokyo, TV Pendidikan NHK, manakala stesen radio ialah Tokyo FM dan Nikkei Radio.

Sudah tentu seperti kebanyakan menara terkenal di dunia seperti Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter, Menara Tokyo menjadi tumpuan pelancong kerana sebahagian besar wajah Tokyo dapat dilihat daripada menara ini.

Terdapat dua lokasi untuk melihat pemandangan, iaitu tingkat pemerhatian utama pada ketinggian 150 meter yang membolehkan pelawat menyaksikan keseluruhan wilayah Kanto yang mengelilingi Tokyo.

Jika ingin melihat lebih jauh, pelawat boleh menaiki hingga ke tingkat pemerhatian istimewa pada ketinggian 250 meter, iaitu tingkat tertinggi menara ini. Jika keadaan cuaca baik, pelawat boleh melihat Gunung Fuji yang terkenal.

Terpulang kepada pengunjung untuk membuat pilihan kerana selain membayar 820 Yen untuk ke tingkat pemerhatian utama, tambahan 600 yen diperlukan untuk ke tingkat pemerhatian istimewa.

Bagaimanapun, menyaksikan pemandangan Tokyo memang cukup menarik. Kebanyakan pelawat tidak melepaskan peluang mengambil gambar pemandangan Tokyo dan semestinya diri mereka sendiri di menara itu.

Bagi memberi nilai tambah untuk menarik kedatangan pelancong, Menara Tokyo mempunyai akuarium yang menempatkan kira-kira 50,000 ekor ikan, Galeri Believe it or Not, Muzium Lilin dan Muzium Silap Mata.

Kehadiran deretan bas pelancong dan pelancong bertali arus membuktikan Menara Tokyo menjadi antara destinasi pelancongan utama di Tokyo.

Setakat ini, Menara Tokyo adalah buah hati Tokyo, tetapi keadaan mungkin berubah apabila Menara Sumida yang hampir sekali ganda lebih tinggi, iaitu 613.5 meter dijangka siap pada 2011.

www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Destinasi

Nilai ekonomi, kemanusiaan dalam teater dapat perhatian

Oleh Shaidah Shafie

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Sastera




SENI persembahan bukan saja mampu tampil sebagai kegiatan yang mempunyai pulangan ekonomi, tetapi turut berupaya membawa individu yang terbabit dengannya untuk mengenali jati diri, warisan dan memulihkan tekanan emosi akibat sesuatu bencana.

Pakar Program Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Asia Pasifik, Bangkok, Patricia Alberth, pula menjelaskan Unesco memandang tinggi terhadap kebolehupayaan seni dalam mengembalikan ketamadunan dunia.

“Unesco mendapati kanak-kanak mangsa Tsunami yang kami kendalikan menggunakan pendekatan seni persembahan begitu teruja dalam sesi pemulihan. Malahan mereka berani menunjukkan minat dengan tarian Bollywood dan hakikat itu mengejutkan kami,” katanya ketika mengulas mengenai Identiti dan Tradisi pada Persidangan Antarabangsa Seni Persembahan: Industri Kreatif di Asia di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Alberth turut memberi contoh masyarakat mempunyai kuasa membentuk kebudayaan melalui produk seni dengan menampilkan projek One Tambon One Product (OTOP) di Thailand yang dilihat memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat.

“Kebudayaan bersifat ketara atau tidak ketara, jika diselaraskan dengan pengurusan yang betul akan mampu diwariskan kepada beberapa generasi. Asia adalah pusat kebudayaan dan tradisi. Justeru segala yang berkaitan kebudayaan, jati diri dan tradisi akan sentiasa menjadi kepentingan utama di rantau ini,” katanya.


Pengarah Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Masayo Shimoyama, melihat seni persembahan bukan saja berfungsi untuk hiburan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai secara lebih global seperti seni mencetus hubungan diplomatik antara dua negara.

Yayasan Jepun ditubuhkan Kerajaan Jepun pada 1972 sebagai entiti bebas bertujuan menjalankan program pertukaran budaya pada peringkat antarabangsa dan pada 2003, keutuhan organisasi terbabit ketara apabila ia menjadi institusi dengan pentadbiran sendiri.

“Pada 2007, JF mengadakan 12 kegiatan pementasan muzik dan kebudayaan dengan kerjasama pihak tertentu di Malaysia. Pada tahun ini, kami merancang mengadakan pementasan dengan penekanan sama rata antara kebudayaan semasa dan tradisional Jepun untuk dikongsi dengan khalayak Malaysia,” katanya ketika membincangkan Projek Yayasan Jepun Kuala Lumpur Sejak 35 Tahun Lalu.

Beliau yakin kreativiti seni yang bersifat tradisional dan kontemporari akan memberi kesan berguna kepada Malaysia dan Jepun dalam usaha melestarikan seni serta mampu mengukuhkan kerjasama dalam aspek kesenian dengan mengadakan pertukaran maklumat seni.

Lebih 300 khalayak persidangan anjuran Pusat Kebudayaan UM dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) turut disedarkan dengan kenyataan seni persembahan sesuai digunakan bagi mencetus kesedaran perpaduan kaum seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Pensyarah Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Prof Tan Sooi Beng memanfaatkan kaedah etnomusikologi merangkumi kerja lapangan, temubual, penyertaan, penelitian, rakaman audio visual, analisis, mempelajari instrumen tradisional dan persembahan berkumpulan sebagai langkah pengukuhan seni dalam masyarakat.

“Ini secara tidak langsung menyediakan landasan kepada remaja untuk mengutarakan isu jati diri dan warisan selain belajar, meneroka serta mendedahkan mereka kepada pelbagai kebudayaan mahupun sejarah dalam persekitaran sepunya,” katanya ketika menyinggung Amali Etnomusikologi: Penguasaan Belia Untuk Penggiatan Tradisi dan Penghubung Kebudayaan.

Pensyarah Jabatan Kebudayaan UM, Prof Dr Solehah Ishak, berkata teater boleh dibangunkan sebagai produk yang mempunyai nilai ekonomi dalam industri kreatif, sekiranya ia mampu menampilkan kelainan dan ini boleh dicapai jika segala kesempatan digunakan bagi memperkukuhkannya.

“Justeru lakonan mahupun pementasan muzikal tidak boleh diadakan dalam tempoh terlalu dekat antara satu sama lain jika kita ingin melihat teater tampil sebagai industri kreatif dengan nilai ekonomi,” katanya ketika memperkatakan Mainkan Lagu: Muzikal dan Industri Kreatif

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Datin Rohani Md Yousoff yakin bahawa teater mampu tampil sebagai disiplin yang berupaya memantapkan jati diri pelajar selain mengasuh mereka berfikir kritis, mengendali hubungan peribadi, lebih terarah dalam urusan kewangan serta bijak mengendalikan syarikat sekiranya berpeluang.

“Teater tunggak asas kemahiran hidup, merangsang kemahiran kerja berkumpulan, pengamalnya akan lebih menghargai diri dan kreativiti mereka. Sebagai pendidik, saya membimbing pelajar dalam semua aspek berkaitan teater seperti sejarah, berlakon, rekaan, teknikal, suara, gerak dan kesusasteraan,” katanya ketika mengupas Pengarahan Teater Untuk Keperluan Pelbagai.

Individu gagal bimbing jiwa tak mampu tadbir urusan kehidupan masyarakat, negara




MENGHAYATI akhlak mulia dalam menjalani tugasan dan kehidupan adalah keperluan untuk membimbing individu termasuk ahli politik, korporat dan pentadbir dalam urusan bermasyarakat dan bernegara.

Islam mempunyai asas akhlak yang tersendiri bersumber daripada semangat falsafah tauhid. Akhlak membicara mengenai sistem perilaku ditentukan Allah untuk manusia dalam menjalani kehidupannya.

Justeru, semua kegiatan individu dalam urusan bermasyarakat mengikut Islam perlu menepati garis akhlak yang sudah ditentukan Allah. Kemampuan individu mengharmonikan segala aspek kelakuannya mengikut panduan akhlak akan membimbing mereka kepada keserasian hidup dengan fitrah kejadiannya.


Natijah daripada keserasian itu membolehkan individu berkenaan memperoleh kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia, seterusnya di akhirat. Oleh itu, pembentukan individu dan masyarakat berakhlak sangat dianjur oleh Islam.

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurna akhlak manusia. Penyempurnaan akhlak manusia dalam semua urusan hidup mengikut Islam adalah syarat awal menjamin masyarakat kepada kecemerlangan semua aspek kegiatan, termasuk usaha membangun negara.

Mengikut Imam Al-Ghazali, akhlak adalah satu kajian berkaitan kepercayaan agama yang membicarakan mengenai kebenaran dan kebatilan berkaitan sesuatu amalan dan ia bukan sekadar sebagai satu bidang ilmu.

Matlamat utama akhlak ialah untuk mempengaruhi kelakuan sebenar seseorang individu. Setiap amalan baik adalah untuk menyuci jiwa semoga memperoleh pembalasan baik di akhirat. Kelakuan berakhlak bersamaan dengan tuntutan agama. Makin beramal seseorang individu dengan ajaran agama makin berakhlak individu itu.


Seterusnya Al-Ghazali menerangkan, akhlak adalah ilmu berkaitan roh, sifatnya dan ciri kelakuan manusia. Beliau dengan tegas menyatakan, akhlak ilmu amalan yang penting. Bagi beliau seseorang yang gagal membimbing jiwanya tidak akan mampu mentadbir urusan kehidupan orang lain.

Beliau menyarankan kemantapan akhlak mesti bermula dengan kefahaman berkaitan jiwa, kuasanya dan sifatnya. Menguasai ilmu itu adalah syarat awal untuk menyuci jiwa seperti disarankan al-Quran dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya." (Surah asy-Syams, ayat 9-10)

Manusia pada fitrahnya mengandungi sifat malakiah dan bahimiah. Kedua-dua sifat yang sedia wujud pada diri manusia penting untuk dibangunkan. Islam tidak menganjur kepada penghapusan sifat bahimiah dalam manusia.

Bahkan Islam mahu sifat bahimiah terus dibina dengan menuntut sifat malakiah mendidik dan membimbing sifat bahimiah. Sifat bahimiah menyediakan tenaga untuk manusia bergiat dan membuat perubahan dan sifat malakiah menjamin perubahan mengikut nilai akhlak yang dapat membawa kepada kemajuan mutlak tercapai.

Shah Waliullah, seorang ulama pada abad ke-18 ada mengutara beberapa asas akhlak yang dapat mengarah manusia bermasyarakat dan bernegara ke mercu kemuliaan, ke arah menterjemah keadilan dalam semua urusan kehidupan hingga terbina sebuah peradaban yang tinggi.

Empat ciri asas akhlak itu adalah:

  • Taharah. Penyucian diri manusia dalaman dan luaran. Individu Muslim digalakkan memiliki kesucian hati dan kebersihan luaran. Kesucian hati meliputi nilai akhlak yang murni seperti amanah, jujur, ikhlas, penyayang dan sebagainya.

    Kebersihan luaran meliputi sikap positif seperti, disiplin, pemakaian kemas dan bersih serta pertuturan mempamerkan sahsiah yang tinggi. Memiliki nilai dalaman dan luaran menjadikan seseorang individu dapat menjalani urusan bermasyarakat dengan berkesan dan penuh disiplin.

    Sifat keperibadian individu yang mulia itu akan dapat memainkan peranan positif kepada kegiatan kehidupan diceburi. Asas ini mampu dibina menerusi amalan ibadat wajib dan sunat seperti solat tahajud, solat witir, berzikir khususnya pada larut malam hingga hampir pagi. Kesucian hati hanya akan dibina selepas hubungan erat dengan Allah diamalkan.

  • Ikhbat. Menegak kebenaran menerusi ketaatan kepada Allah. Patuh dan cinta kepada kebenaran adalah satu daripada akhlak induk. Mereka yang tidak patuh kepada Allah menolak kebenaran, walaupun ia yakin sesuatu itu benar.

    Justeru, keilmuan dan kefahaman yang benar akan mengawasi pandangan hidup dan segala tindak tanduk individu semoga semua tindak tanduk itu menepati arahan Ilahi. Kealpaan mendukung kebenaran menghasilkan individu yang munafik, iaitu tindakannya berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika sifat ini menjadi budaya dalam sesebuah masyarakat, ia adalah petanda awal kepada kemusnahan masyarakat itu.

  • Samahah. Sifat bertolak ansur, pemurah dan pemaaf. Sifat ini perlu dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Keutuhan dan kestabilan dalam sistem bernegara akan dapat dicapai jika sifat ini diamalkan setiap ahli masyarakat.

    Kemajuan sesebuah tamadun adalah usaha bersama oleh setiap individu. Ia menepati sifat tabii kemanusiaan yang memiliki ciri manusia sosial. Justeru, sifat samahah adalah asas akhlak yang membawa kepada suasana yang harmoni dalam mengendali urusan masyarakat dalam sesebuah negara.

  • Adalah. Bersifat insaf dan adil. Menghayati semangat keadilan dalam semua aspek kehidupan adalah kemuncak kepada pembinaan tamadun manusia hasil daripada penghayatan ketiga-tiga asas akhlak terdahulu seperti taharah, ikhbat dan samahah.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl, ayat 90)

    Kecapaian pelaksanaan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap amalan pembangunan masyarakat adalah kemuncak keutuhan sistem bermasyarakat dan bernegara dan syarat awal kepada pembangunan sesebuah tamadun manusia.

    Dalam usaha individu dan masyarakat menghayati nilai keadilan, golongan berilmu dikalangan masyarakat hendaklah memainkan peranan yang berkesan. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan selain daripada-Nya dan malaikat mengakui dan orang-orang berilmu yang tegak dengan keadilan." (Surah ali-'Imran, ayat 18)

    Daripada perspektif kemajuan ekonomi dan pembangunan negara, pendekatan yang diambil menepati semangat falsafah akhlak Islam akan menjurus kepada pembangunan ekonomi dicapai menerusi pendekatan keadilan sosial.

    Keadilan sosial bererti usaha ke arah pembasmian kemiskinan diberi keutamaan. Ia diikuti dengan penghapusan segala unsur kezaliman dalam perjalanan aktiviti ekonomi. Usaha itu akan mengurang jurang perbezaan antara yang kaya dan kurang bernasib baik.

    Turut diberi perhatian menepati semangat keadilan ialah kemampuan negara meningkat keberkesanan dalam pengaliran harta kekayaan negara semoga lebih banyak peluang ekonomi dapat dicetus.

    Ia sekali gus menyelesaikan masalah pengangguran. Pendekatan keadilan sosial dalam membangun ekonomi negara akan menjana kepada pertumbuhan ekonomi disertai kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan tercapai.
  • http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/

    Sunday, March 2, 2008

    Berhenti kerja

    Berhenti Kerja…Apa Alasan Anda?
    Persekitaran kerja, bebanan yang terpaksa ditanggung dan minat yang semakin berkurangan sering kali membuatkan kita tertekan. Jalan paling mudah bagi sesetengah orang ialah meletakkan jawatan. Apa pun tindakan dan hala tuju yang anda ingin capai, jangan terburu-buru. Kenal pasti apakah masalah sebenar sehingga anda tidak lagi mampu bertahan. Pastikan jangan berlaku seperti kata orang - lepas dari mulut buaya, masuk pula mulut harimau. Tetapi jika anda merasakan pilhan anda tepat dan itu lah sahaja cara terbaik untuk anda lari dari semua itu, teruskan.
    Bagaimanapun, ambil lah tindakan tersebut dengan penuh kematangan. Ambillah keputusan untuk berhenti dengan cara terhormat. Ini penting kerana tindakan sebegini akan meninggalkan rekod baik buat diri anda. Dan tentunya pemergian anda akan lebih bermakna, diingati dan dikenang oleh rakan-rakan.
    Apabila ingin membuat keputusan, fikirkan juga beberapa perkara berikut untuk dipertimbangan dengan bijak agar ia tidak merugikan dan merosakan masa depan anda. -mesti baca @ umph oktober 2006-

    komen:

    Apa yang kita tahu, kerja merupakan tugas setiap insan dalam mencari rezeki. terdapat pelbagai pekerjaan yang boleh dilakukan oleh setiap individu. setiap kerja yang dilakukan adalah berdasarkan kebolehan masing-masing. dalam seseorang melakukan pekerjaan, terdapat kerja yang dilakukan halal dan ada yang haram. setiap orang mempuyai pilihan sama ada ingin melakukan kerja halal atau haram. jika ingin rezeki halal, seseorang itu hendaklah melakukan kerja halal dan sebaliknya jika ingin mendapat rezeki yang tidak halal, seseorang itu tidak perlu melakukan kerja halal.

    Dalam melakukan sesuatu kerja, terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang perlu ditempuh. tidak kira sama ada rintangan itu besar atau kecil, seseorang itu memerlukan semangat yang kental dalam menempuh segala rintangan itu. bagi yang tidak mampu menanganinya, pilihan berhenti kerja adalah pilihan terakhir.

    Bagi mahasiswa yang bakal menempuh alam pekerjaan. persediaan yang cukup dalam pelbagai aspek seperti rohani dan jasmani penting bagi mereka untuk menempuh segala masalah di tempat kerja. jika semua ini lengkap pada diri seseorang mahasiswa, masalah berhenti kerja mungkin tidak akan berlaku.